Bekalan ayam cukup sehingga Aidilfitri

Iklan
Salahuddin memberikan sumbangan kurma kepada pengunjung di Bazar Ramadan Perling Mall, Johor Bahru pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan bekalan ayam di seluruh negara untuk Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri mencukupi.

Beliau berkata, jaminan tersebut diberikan selepas mendapat data terkini daripada Jabatan Veterinar serta maklumat berkenaan bekalan ayam menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pada Ahad.

Iklan
Iklan

Jelasnya, semua pemain industri yang terlibat juga memaklumkan bekalan ayam cukup dan tidak perlu bimbang.

"Oleh itu saya harap rakyat jangan panik dan kita sentiasa pantau isu bekalan ayam pada setiap hari. Ini tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MAFS dan Jabatan Veterinar.

Iklan

"Ini (bekalan cukup) berdasarkan libat urus dan maklumat yang disampaikan kepada KPDN secara umumnya," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kurma di Bazar Ramadan Perling Mall di sini pada Ahad.

Beliau mengulas dakwaan bekalan ayam yang berkurangan ketika ini sehingga memaksa harga bahan mentah itu naik 20 sen di peringkat ladang bermula hari pertama Ramadan.

Iklan
Salahuddin beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di Bazar Ramadan Perling Mall, Johor Bahru pada Ahad.

Sebelum ini, Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng memaklumkan ketika ini berlaku kekurangan bekalan ayam segar hampir 30 peratus di pasaran menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu tidak dapat dielakkan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berharap maklumat berkaitan perkara itu diberikan secara terperinci kepada KPDN.

"Kadang-kadang ada masalah antara pembekal dengan peruncit selain majikan lambat bayar hingga mengakibatkan bekalan tidak cukup. Itu hanya berlaku di tempat-tempat tertentu," ujar beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap aduan dan pihak penguat kuasa akan memantau sehingga Aidilfitri.

Tambahnya, jika ada pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga, perkara itu perlu dilaporkan kepada KPDN.

"Nasihat saya kepada peniaga, patuhi arahan. Kerajaan letak harga kawalan untuk harga ayam RM9.40 sekilogram, harga siling ini perlu dipatuhi. Sekiranya berdepan masalah 'supply' atau perlu bantuan KPDN, kita sedia membantu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDN akan mengumumkan harga maksimum barang keperluan asas untuk Hari Raya Aidilfitri kira-kira dua minggu lagi.