Soon Huat-Shevon kempunan raih gelaran Terbuka Switzerland

Iklan
Soon Huat-Shevon tewas kepada pasangan Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China malam ini. - Foto Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM

IMPIAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, untuk meraih gelaran pertama di pentas final Kejohanan Terbuka Switzerland di Basel tidak kesampaian, selepas tunduk kepada pasangan Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China malam ini.

Selepas menamatkan cabaran di kedudukan kedua pada kejohanan sama pada edisi lepas, Soon Huat-Shevon yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan terpaksa akur, apabila penampilannya pada musim ini disekat Jiang Zhen dan Wei Ya dengan kemenangan 21-17, 19-21, 21-17 dalam tempoh 60 minit di St Jakobshalle.

Iklan
Iklan

Pada set pertama, Soon Huat-Shevon yang berada pada kedudukan ke-11 dunia tampak bertenaga untuk memberi saingan sengit kepada pasangan China itu, namun tidak dapat menandingi kehebatan mereka apabila ditundukkan 17-21.

Pasangan Malaysia itu yang memulakan set kedua dengan perlahan apabila ketinggalan 14-16 kembali memperkemaskan corak permainan, apabila bangkit mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-19 pada set kedua, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Iklan

Walaupun Soon Huat-Shevon terus menampilkan aksi bertenaga, ia belum cukup untuk mengekang penguasaan pasangan bukan pilihan dari China itu, apabila mereka memuktamadkan kejayaan dengan 21-17.

Ini merupakan pertama kalinya Soon Huat-Shevon bertemu pemenang Masters China 2023 itu.

Iklan

Terbuka Switzerland ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 300 BWF, yang menawarkan hadiah bernilai US$16,590 (kira-kira RM70,000) bagi pemenang acara beregu dan US$7,980 (kira-kira RM30,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF. - Bernama