SHAH ALAM - Sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini telah menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah serendah RM5 dengan niat untuk meringankan beban pengguna.
Menurut pemilik Bengkel Dania Garage, Mohd Mustakim Mohd Munawir, Program Amal Tayar Rahmah yang dianjurkannya adalah sebagai satu bentuk sumbangan dan penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.
"Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.
"Jadi sempena Ramadan ini, saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujar Mohd Mustakim, jualan amal yang dianjurkan selama sehari pada 20 Mac lalu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pemilik motosikal.
Bagaimanapun, pihaknya memperuntukkan sejumlah 1,000 unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit.
"Program jualan amal ini merupakan jualan tayar motosikal bersaiz 70/90-17 dan 80/90-17, harga jualan sebenar tayar tersebut adalah RM60 seunit yang mana harga Rahmah tayar itu tidak ada dijual di mana-mana tempat, setakat ini hanya di bengkel Dania Garage sahaja.
"Mac tahun ini merupakan bulan yang amat mencabar kepada semua pengguna kerana sesi persekolahan bermula dan persiapan raya datang serentak yang mana rata-rata memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.
"Sebab itu saya tampil menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah memandangkan sebahagian besar pemilik motosikal ini adalah golongan B40", jelas Mustakim.
Untuk makluman, Dania Garage merupakan bengkel motosikal 100 peratus milik bumiputera yang berpusat di Sungai Chua, Kajang.
Mula beroperasi pada tahun 2016, kini pemiliknya mampu berbangga dengan kejayaan membina tiga cawangan lagi iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.
Bengkel Dania Garage amat popular di media sosial khususnya di aplikasi TikTok dengan jumlah pengikut lebih 506,000 orang.