Hormati hubungan baik Malaysia - Arab Saudi

Iklan
Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama kepala industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Arab Saudi. - Foto FB Anwar Ibrahim

DALAM tempoh terdekat ini isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi ke Arab Saudi menjadi topik hangat yang dibincangkan di media sosial.

Pihak pembangkang mempertikaikan lawatan itu kerana tiada pertemuan Anwar dengan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Bin Abdul Aziz Al Saud atau Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Bin Salman.

Iklan
Iklan

Turut dipertikaikan ialah delegasi negara hanya disambut Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah bin Jalawi Al Saud dan tiada lawatan ke dalam Kaabah.

Semua persoalan itu kemudiannya dijawab Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menjelaskan bahawa lawatan Anwar berjaya kerana daripada lawatan singkat tiga hari itu telah diadakan pertemuan dengan OIC dan Liga Muslim Dunia di Makkah.

Iklan

Anwar juga telah menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.

Perdana Menteri juga katanya telah mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana.

Iklan

Pada masa sama diadakan perbincangan mengenai isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama.

Berdasarkan kepada impak positif hasil lawatan itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang rasional tidak perlu 'tumpang sekaki' mengeluarkan pandangan-pandangan negatif di media sosial yang boleh menjejaskan hubungan Malaysia dan Arab Saudi.

Paling tidak wajar mengeluarkan komen-komen tidak sepatutnya di ruangan berita yang memaparkan PM dan rombongan mengerjakan ibadah umrah. Isu-isu negatif hanya merugikan kita.

Harus diingat setiap tahun rakyat kita akan ke sana bagi menunaikan umrah dan pada tahun ini seramai 31,600 jemaah telah terpilih untuk menunaikan haji.

Bahkan pada tahun lepas Arab Saudi merupakan rakan dagang terbesar, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion, peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.