Subsidi bersasar, harga barang tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Persoalan berkaitan subsidi bersasar dan harga barangan antara dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Persoalan berkaitan subsidi bersasar, harga barangan serta jaminan keselamatan makanan negara antara dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bertanyakan Menteri Kewangan mengenai bila subsidi bersasar seperti diumumkan Perdana Menteri pada 27 November 2022 dijangka dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Soalan itu dikemukakan semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, dengan Radzi juga ingin tahu sama ada kerajaan boleh memberi jaminan bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

Pang Hok Liong (PH-Labis) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan jumlah nilai makanan import bagi tahun 2018 hingga 2022 dan langkah yang telah atau akan diambil bagi memastikan kualiti dan jaminan keselamatan makanan negara.

Iklan

Turut dijangka menjadi tumpuan, pertanyaan V Ganabatirau (PH-Klang) kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai bagaimana Kerajaan MADANI akan memastikan pembelaan kepada semua kaum dan agama apabila berlaku pendakwaan terpilih terhadap penghinaan sesuatu kaum dan agama.

Beliau juga ingin tahu sama ada Kerajaan MADANI akan berlaku adil dalam memastikan segala penghinaan terhadap semua kaum dan agama dihentikan.

Iklan

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai status pengambilan guru baharu pada tahun 2022 serta perincian pengambilan guru mengikut opsyen mata pelajaran bagi 2016 hingga 2022 dan unjuran pengambilan guru bagi 2023 hingga 2027.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa. - Bernama