Peniaga bazar gajikan pengendali tiada latihan dikompaun

Iklan
Dr Kasemani (kanan) memberi penerangan tentang kos imbasan QR yang diwujudkan JKNT kepada seorang pengunjung bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus pada Ahad.

KUALA NERUS – Sebanyak tujuh kompaun melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) terhadap peniaga bazar Ramadan setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, tindakan kompaun bernilai RM1,100 itu diambil membabitkan peniaga di Dungun hasil pemeriksaan 53 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri sejak Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kesalahan yang berjaya dikesan ialah menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan tiada latihan pengendali makanan.

"Kita harap semua peniaga dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan memastikan setiap makanan yang sampai kepada pengguna memenuhi keperluan keselamatan makanan di setiap peringkat rantaian termasuk penyediaan dan pemprosesannya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir melancarkan Ops Keselamatan Makanan Sempena Ramadan 2023 Peringkat Negeri Terengganu di bazar Ramadan Gong Badak di sini pada petang Ahad.

Dr Kasemani berkata, terdapat 3,941 petak niaga di 61 lokasi bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan seramai 7,914 pengendali makanan di lapan daerah pada tahun ini.

Iklan

Katanya, JKNT telah membentuk sebanyak 106 pasukan terdiri daripada 366 anggota penguat kuasa bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan berdaftar serta tidak berdaftar sepanjang Ramadan kali ini.

"Selain bazar Ramadan, kita juga akan menjalankan pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih serta selamat sebelum sampai ke tangan pengguna.

"Persampelan makanan turut ditumpukan di lokasi terpilih termasuk bazar Ramadan dan lain-lain premis jualan makanan supaya makanan yang dijual adalah bersih serta selamat kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Dr Kasemani memaklumkan JKNT mewujudkan dua jenis kos imbasan QR bagi tujuan hebahan informasi keselamatan makanan serta bagi mengumpul maklum balas tentang tahap kebersihan premis makanan sepanjang bulan Ramadan.

"Orang ramai boleh mengimbas kod QR yang terdapat di bunting di setiap bazar Ramadan atau laman facebook JKNT untuk menyalurkan maklumat tersebut.

"Kewujudan platform ini diharap dapat meningkatkan mutu kerja, perkhidmatan kami. Bagi pengguna pula, pilihlah gerai yang bersih dan pengendali beretika selain amalkan konsep lihat, hidu dan rasa supaya risiko keracunan makanan dapat dielak," katanya.