Balai Seni Negara tiada perancangan buat pameran Doraemon sempena TMM2020

Iklan

PUTRAJAYA - Balai Seni Negara tiada perancangan mengadakan pameran kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Agensi itu berkata, kenyataan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah ketika perasmian Doraemon Pop-Up store di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bulan lalu, tidak bermaksud pihaknya mahu menggunakan kartun animasi itu untuk tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

Rashidi sebenarnya menjelaskan, jika Doraemon membuat promosi di Jepun sempena Sukan Olimpik 2020 di negara terbabit, pihak Doraemon boleh mempromosikan sekali TMM2020.

"Untuk maklumat tambahan, Doraemon Pop-Up Store adalah program promosi bergerak produk dan cenderamata Doraemon, bukannya berbentuk pameran.

Iklan

"Balai Seni Negara mengambil berat pandangan dan kebimbangan Pengerusi Animasi Malaysia (ANIMAS), Ameri Hamzah Hashim mengenai perkara ini.

"Balai Seni Negara sentiasa mengutamakan seni visual tempatan dan memartabatkan seni serta karyawan tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Pagi tadi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan pameran siri animasi animasi terkenal Jepun itu sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen TMM2020.

Dalam pada itu, Balai Seni Negara berkata, kalendar program dan pameran untuk tahun 2020 telah dirancang membabitkan pengisian khas dengan Pameran Koleksi Seni Visual Negara yang mana pelukis terkenal menampilkan karya bertemakan tempat dan tempatan sebagai menyokong usaha TMM2020.

"Antara pameran oleh kartunis tempatan yang diadakan di Balai Seni Negara sebelum ini ialah Pameran Retrospektif 1964- 2003 oleh Datuk Lat pada tahun 2003, Pameran Kartun Tulen Malaysia (2012), Pameran Solo Imuda (2015) dan Pameran Lawak Kampus oleh Gempak Starz (2018)," jelasnya.