Meriahnya berbuka di Masjid Al Asma'ul Husna

Iklan
Nor Atikah bersama suami dan keluarga hadir ke Masjid Al Asma'ul Husna Bandar Uda Utama untuk berbuka puasa. (Gambar kecil:MOHAMAD ZAFAR)

JOHOR BAHRU - Masjid Al Asma'ul Husna Bandar Uda Utama menjadi tumpuan warga kota kerana menyediakan hidangan berbuka puasa di dalam dulang pada bulan Ramadan.

Masjid ini mendapat perhatian ramai selepas video hidangan berbuka puasa yang disediakan secara percuma itu tular di aplikasi TikTok.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati hampir 1,000 orang hadir ke masjid berkenaan.

Pengerusi Masjid Al-Asma'ul Husna, Mohamad Sapar Musir berkata, program iftar percuma itu merupakan inisiatif ahli jawatankuasa masjid yang sudah dimulakan sejak tahun lepas.

Iklan

"Objektifnya, kami mahu menghidupkan Ihya Ramadan dan budaya infak serta sedekah. Selain itu, jawatankuasa masjid juga bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

Orang ramai mengambil peluang berbuka puasa di Masjid Al Asma'ul Husna Bandar Uda Utama.

"Program ini mendapat sambutan luar biasa, bukan sahaja dari segi penerimaan sumbangan dan infak tetapi juga dapat membantu golongan kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Mohamad Sapar berkata, sebelum ini hanya penduduk di sekitar Bandar Uda Utama yang mengetahui mengenai hidangan berbuka puasa yang disediakan pihak masjid.

"Tahun lepas, meja yang disediakan untuk program berbuka puasa tidak penuh. Namun selepas tular video masjid sediakan hidangan berbuka puasa, sambutan yang diterima amat luar biasa.

Hidangan berbuka puasa disediakan di dalam dulang.

"Kami tidak sangka sambutan pada Ramadan cukup luar biasa apabila hampir 1,000 umat Islam hadir setiap hari sejak hari pertama Ramadan sehingga setiap sudut dewan terbuka masjid," katanya.

"Sebanyak RM4,000 disediakan bagi menyediakan nasi dan lauk. Antara 70 hingga 80 kilogram (kg) nasi bersama tiga lauk utama sama ada ayam, daging dan ikan akan dimasak.

"Ramai yang datang membantu bukan sahaja menyumbang wang tetapi ada juga yang memberikan kuih-muih, manisan dan buah," katanya.

Sementara itu suri rumah, Nor Atikah Sidek, 32, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, berkata program iftar percuma itu amat membantu keluarganya.

Mohamad Sapar menunjukkan juadah berbuka puasa yang disediakan secara percuma di Masjid Al Asma'ul Husna Bandar Uda Utama.

"Sejak tahun lalu, saya bersama suami, Rizal Husin, 43, yang bekerja tukang besi dan empat anak tidak pernah ketinggalan hadir ke program ini sejak tahun lepas.

"Syukur, makanan dihidangkan sedap semuanya dan layanan ahli jawatankuasa masjid sangat mesra. Selepas berbuka kami sekeluarga akan solat Maghrib, Isyak dan terawih bersama ahli kariah yang lain," katanya.

Sementara itu, pesara, Mohamad Zafar Othman, 60, yang tinggal di Taman Perling sanggup datang ke masjid itu untuk bersama-sama berbuka puasa dan terawih bersama.

"Program iftar percuma merupakan amalan mulia, ramai yang datang dan saya gembira dapat bersama mereka berbuka puasa. Selain itu program ini mengimarahkan masjid pada Ramadan," katanya.