ISKANDAR PUTERI - Lima insentif diumumkan kerajaan negeri bagi membantu lebih 85,000 mangsa banjir di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata insentif pertama adalah Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) berjumlah RM2,500 kepada ketua isi rumah (KIR) yang akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April ini.
"Kedua, Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada KIR daripada kerajaan Persekutuan dan tambahan bantuan RM300 lagi daripada kerajaan negeri.
"Pembayaran Bantuan Wang Ihsan Kerajaan Persekutuan dan Negeri ini dijangka selesai diagihkan pada bulan ini kecuali Batu Pahat dan Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai.
"Bantuan RM1,300 untuk setiap KIR ini akan membabitkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, bagi insentif ketiga, kerajaan Johor telah berbincang dengan penyedia perkhidmatan air, Ranhill SAJ.
"Insentif keempat adalah moratorium pinjaman bagi mangsa banjir sehingga enam bulan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu yang membabitkan hampir semua bank.
"Manakala insentif kelima pula membabitkan pengecualian sebanyak RM250 bayaran penggantian hak milik semua dokumen penting termasuk geran yang hilang atau hancur berikutan bah besar," katanya.
Banjir besar yang melanda Johor sejak 28 Febuari lalu merekodkan sejumlah 85,000 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan babitkan 379 pusat pemindahan sementara (PPS).
Banjir di negeri ini pulih sepenuhnya selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Batu Pahat ditutup pada 12 tengah hari pada Ahad.