Hubungan PM, Muhyiddin baik-baik saja

Iklan

PUTRAJAYA – Tidak timbul krisis di antara Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan lantikan Exco baharu Johor.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan hubungan antara Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu mengalami masalah.

Iklan
Iklan

"Saya harap tidak ada pihak lain yang cuba untuk membangkitkan isu ini, kerana ia tidak berlaku.

"Malah dalam mesyuarat Kabinet hari ini juga elok saja Tan Sri Muhyiddin duduk sebelah Dr Mahathir, saya tengok hubungan mereka macam biasa saja,” katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam.

Iklan

Baru-baru ini berlangsung mesyuarat khas tergempar yang didakwa seolah-olah mengesahkan keretakan hubungan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Mesyuarat itu didakwa diadakan atas permintaan Pengerusi PH itu yang tidak berpuas hati dengan pelantikan dua Exco baharu Johor, Solihin Badri dan Tosrin Javanthi.

Iklan

Menurut laporan, sebagaimana persetujuan awal Dr Mahathir dikatakan tidak mahu ada perubahan dalam kedudukan Exco Johor, kecuali penambahan seorang lagi Exco daripada Bersatu yang menggantikan Datuk Dr Shaharuddin yang dilantik sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun dikatakan, ketika Muhyiddin menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Menteri Besar Johor dilaporkan turut mempersembahkan nama Solihin dan Tosrin tanpa memaklumkan kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu turut mengakui sebagai menteri baharu yang kurang pengalaman banyak perkara perlu dipelajarinya.

"Sebagai wakil rakyat dan menteri baharu yang tiada pengalaman, saya akui banyak perkara perlu belajar dengan cepat, kena turun ke bawah untuk mendalami skop kerja di bawah kementerian ini.

"Malah ada juga beberapa kertas kerja di kementerian ini, saya minta pandangan daripada Perdana Menteri juga,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengakui beliau dibebani dengan tugasan tiga kali ganda lebih banyak berbanding semasa menjadi Perdana Menteri kali pertama sebelum ini kerana barisan anggota Kabinetnya kurang berpengalaman.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, menteri baharu yang dilantik belajar cepat dan sentiasa meminta nasihat beliau sebelum mengambil sebarang keputusan dalam portfolio mereka.