Umno akan tetap berbakti kepada rakyat Sabah

Iklan
KUALA LUMPUR - Di sebalik ‘penghijrahan’ beramai-ramai pemimpin Umno Sabah semalam, Umno tetap yakin mampu kekal berbakti kepada rakyat Negeri di Bawah Bayu itu meskipun berdepan dugaan dan cabaran besar.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelantikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai Umno Sabah adalah tepat kerana gandingan muka baru dan lama pastinya mampu meningkatkan keyakinan rakyat.

Mengambil pendekatan positif di sebalik kemelut di Sabah, Shamsul Anuar optimis situasi berkenaan memberi peluang kepada pemulihan segera Umno Sabah dengan semangat, jiwa baru yang berfungsi dengan sempurna.

"Dugaan dan cabaran yang Umno hadapi memang besar. Hanya yang setia, faham idealisme serta perjuangan parti iaitu demi agama, bangsa dan negara saja akan kekal.

"Justeru, saya ingin nyatakan bahawa dalam keadaan sukar manapun, Umno tetap kekal untuk berbakti di Sabah. Kepada yang masih bersama Umno, mari bersama kita lakukan.

"Umno mahu menang dan kembali berkuasa selepas ini. Inilah hala tuju yang telah dipersetujui bersama sebagaimana yang diUmumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, beliau yakin masa depan Umno di Sabah masih kuat kerana parti itu memenangi banyak kerusi di sana dalam PRU14.

"Ini masa terbaik pimpinan baru yang berwibawa dibawa masuk bagi memimpin Umno di Sabah,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Lenggong itu, beliau tidak boleh menerima alasan mereka di Sabah yang meninggalkan parti mengatakan Umno masih tiada hala tuju yang jelas sedangkan pucuk pimpinan telah menetapkan apa perlu dilakukan selepas ini termasuklah di Sabah.

Jadi, katanya, Umno percaya mereka keluar parti dengan tujuan dan matlamat lain namun menjadikan hala tuju kurang jelas sebagai alasan semata-mata.

"Cadangan-cadangan untuk memberi kuasa autonomi yang Umno Sabah inginkan juga sedang dipersiapkan. Jawatankuasa Khas bersama berkaitan dengannya juga telah dibentuk dan berfungsi.

"Malah Presiden Umno juga telah nyatakan persetujuan ketika perjumpaan dengan pimpinan parti di Sabah. Justeru perkara ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi.

"Sebab itu Umno percaya mereka meninggalkan parti sebenarnya dengan tujuan dan matlamat yang lain. Cuma hanya menjadikan hala tuju kurang jelas sebagai alasan,” katanya.