RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 441,120 batang rokok seludup dan dua buah kenderaan bernilai RM551,749 dalam dua serbuan di dua premis di Kuala Krai pada Isnin.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, seorang lelaki dipercayai penyeludup berusia lingkungan 40-an turut ditahan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang pada jam 11 pagi.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan intipan.
Beliau berkata, kesemua rokok seludup terbabit dianggarkan bernilai RM174,300 di pasaran tempatan dengan ketiadaan nilai cukai yang berjumlah RM367,449.
"Suspek mengangkut rokok-rokok tersebut dengan kenderaan dari selatan tanah air dan disimpan di suatu tempat sebelum diedarkan kepada pelanggan-pelanggan. Suspek akan menyimpan rokok terbabit di rumahnya terlebih dahulu sebelum dijual.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda minimum 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, mana yang lebih besar dan maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000, yang mana lebih besar atau penjara selama suatu tempoh minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Wan Jamal Abdul Salam menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
"Masyarakat dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan kerana merugikan malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Maklumat penyeludupan boleh disalurkan ke talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat yang terdekat dengan jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.