Suami maut kemalangan, isteri bersyukur dapat bantuan Perkeso

Iklan
Siti Nur Aishah (kiri) menerima faedah Perkeso disampaikan Mohammed Azman ketika menziarahi waris keluarga Mohamad Khairul Nizam yang maut dalam kemalangan jalan raya.

HULU LANGAT - [KEMAS KINI] Seorang isteri hilang tempat bergantung selepas suaminya yang menyara empat anak maut dalam kemalangan pada 11 Mac lalu.

Isteri mangsa, Siti Nur Aishah Mohd Ali, 31, berkata, dia menerima panggilan daripada individu tidak dikenali sekitar jam 3 petang memaklumkan suami, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid, 30, maut dalam kemalangan motosikal di Bukit Ampang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suaminya yang bekerja sebagai penghantar makanan ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sungai Michu di sini.

"Saya ketika itu berada di surau seperti hilang akal dan histeria sebaik dimaklumkan kejadian. Baru saja mesej dengan suami 20 minit lepas, tiba-tiba dapat tahu suami terlibat kemalangan maut.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, saya lihat arwah sudah terkaku tidak bermaya. Saya tak sangka arwah akan pergi meninggalkan kami secepat ini," katanya ketika menerima lawatan daripada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada Isnin.

Siti Nur Aishah berkata, dia menjadi suri rumah sejak berkahwin dan pernah meluahkan hasrat untuk bekerja namun dibantah suaminya yang memintanya untuk menumpukan perhatian menguruskan anak-anak sepenuh masa.

Iklan

"Selepas arwah pergi saya belum fikir lagi cara untuk membesarkan anak-anak. Mungkin akan bekerja sambilan dari rumah memandangkan perlu juga mengurus anak-anak.

"Saya bersyukur suami mencarum SKSPS, dengan bantuan Perkeso itu, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan anak-anak," katanya.

Siti Nur Aishah bersama dua daripada empat anaknya.

Sementara itu, Mohammed Azman menyeru agar pekerja sektor gig yang bekerja sendiri supaya mencarum SKSPS demi menjaga kebajikan keluarga.

"Malang tidak berbau, jangan ambil mudah dan laksana tanggungjawab mendaftar SKSPS kerana jika apa-apa berlaku, balu dan anak-anak menerima bantuan, sedikit sebanyak dapat membantu biaya keluarga yang ditinggalkan.

"Di bawah Program Padanan Caruman Pekerja Sendiri, kerajaan menaja sebanyak 80 peratus atau RM186.20 di bawah Pelan Caruman 2 SKSPS kepada orang bekerja sendiri (OBS).

"OBS hanya perlu membayar 20 peratus daripada caruman SKSPS iaitu RM46.60 untuk perlindungan selama 12 bulan," katanya.

Ujarnya, rekod Perkeso sehingga 2022 menunjukkan seramai 4,724 pencarum telah menerima faedah skim itu dianggarkan berjumlah RM14.43 juta.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 1,993 pencarum yang menerima faedah RM4.54 juta pada tahun 2021 susulan kesedaran pekerja sektor tersebut untuk mencarum.