MELAKA - Tukang gunting rambut warganegara India didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pesara, bulan lalu.
S Logamurugan, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Berdasarkan pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Sa’adon Sahat, 57.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah antara jam 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, pada 27 Februari lalu.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302 selain tertuduh yang tidak diwakili peguam adalah warga India.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada jam 2.04 petang sehari sebelumnya selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa akibat dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk.