Beri masa kepada Azeem

Iklan
Muhammad Azeem

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berada di landasan terbaik untuk memburu catatan bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) selepas menunjukkan perkembangan positif sejak tiga bulan berkelana di Amerika Syarikat (AS).

Atlet yang berasal dari Perak itu meraih pingat emas pada penampilan pertama acara 100m sejak tiba di negara Uncle Sam pada Januari apabila memenangi perlumbaan di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays.

Iklan
Iklan

Biarpun catatan 10.32s itu jauh dari rekod kebangsaan, 10.09s miliknya, namun Azeem menunjukkan momentum menakjubkan selepas turut memecah rekod 60m kebangsaan dalam dewan bulan lalu.

Bekas jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah gembira dengan catatan masa tersebut kerana pelari itu mampu mengekalkan konsistensi masa dalam lariannya.

Iklan

"Ini adalah perlumbaan pertama di luar dewan selepas tiga bulan Azeem di AS. Saya berasa gembira dan berpuas hati dengan pencapaian itu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Muhammad Amir juga percaya bekas anak didiknya itu mampu mencapai impiannya untuk melakar catatan di bawah 10s, namun ia memerlukan masa dan melalui proses tertentu.

Iklan

"Jadi proses itu perlu dilalui dengan sabar. Beri masa kepada Azeem. Ini adalah satu proses yang perlu dilalui oleh seorang atlet untuk berjaya,” katanya.

Laporan Sukan Sinar pada Ahad.

Beliau juga berharap agar para peminat dan rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan Azeem dalam kerjayanya sebagai atlet dan pada masa sama mengejar impiannya berjaya dalam pelajaran.

Bulan lalu, Azeem menampilkan permulaan baik di AS selepas memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki di dalam dewan miliknya sendiri pada final Kejohanan Jemputan Tiger Paw.

Dalam saingan yang berlangsung di University Clemson di South Carolina itu, Azeem yang merupakan penuntut Universiti Auburn merekodkan catatan 6.62s bagi menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Catatan tersebut sekali gus menyaksikan Azeem memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 6.63s yang dilakukan pada Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas Januari lalu.