KUANTAN - Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan lompat parti politik bagi Ahli Dewan Negeri (ADUN) di Pahang boleh dibentangkan sekiranya perkara itu dipersetujui blok pembangkang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu sudah difikirkan dan dalam pertimbangan namun sukar dilaksanakan memandangkan kerajaan negeri tiada sokongan dua pertiga ketika ini.
Menurutnya, sekiranya RUU itu hendak dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei depan, sokongan majoriti perlu sebelum ia dapat diluluskan.
"Kita akan bincang dengan ADUN dari Perikatan Nasional (PN) tentang cadangan ini dan jika mereka setuju kita bentang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada RUU itu akan dibentangkan pada sidang DUN akan datang memandangkan Pahang masih belum berbuat demikian.
Wan Rosdy ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini pada Isnin.
Kerajaan Negeri Pahang dibentuk melalui gabungan UMNO/BN bersama Pakatan Harapan (PH) selepas tiada gabungan parti bertanding memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PN menguasai 17 daripada 42 kerusi DUN iaitu Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam,Kuala Sentul,Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.
BN pula menang 17 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai, Tioman dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu Dun Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.