PHNOM PENH - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Sen atas sokongannya membawa pulang rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.
Anwar, yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kemboja menyifatkan Kemboja di bawah pimpinan Hun Sen sebagai ‘cemerlang’ dalam memberikan sokongan penuh dan kerjasama bagi menyelesaikan isu penipuan pekerjaan.
"Saya juga mesti merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri (Hun Sen) kerana Kemboja adalah antara negara yang paling membantu apabila kami perlu menangani isu penipuan pekerjaan yang turut menjejaskan rakyat anda, tetapi kemudian anda membantu kami membawa kembali 287 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan.
"Terima kasih banyak, ia amat bermakna kepada ratusan keluarga yang terjejas akibat penipuan ini,” kata beliau pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Hun Sen di Peace Palace pada Isnin.
Dilaporkan bahawa Kementerian Luar telah menerima 572 laporan melibatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket 'penipuan pekerjaan' di luar negara setakat 20 Feb. Laporan itu diterima melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar).
Sementara itu, Anwar berkata, beliau berharap Hun Sen dapat memberikan beberapa idea pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang berhubung rangka kerja komprehensif bagi menangani krisis semasa Myanmar.
Menurut Anwar, ia bukan lagi isu dalaman kerana lebih 200,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia.
Anwar berkata, komuniti ASEAN memahami situasi semasa di Myanmar tetapi junta (kumpulan pemimpin tentera) negara itu juga perlu memahami bahawa perkara itu tidak boleh diteruskan tanpa penyelesaian.
Beliau turut menyatakan kepercayaannya terhadap kebijaksanaan rakan sejawatannya dari Kemboja itu kerana Hun Sen telah berjaya mengembalikan keamanan apabila berdepan dengan situasi yang lebih kompleks di Kemboja berbanding situasi semasa di Myanmar.
"Ini adalah contoh yang hebat bagaimana sebuah negara yang berdepan perang saudara dan keganasan boleh mencapai keamanan. Perdana Menteri (Hun Sen) dengan pengalaman luas sudah tentu lebih sesuai untuk membincangkan isu yang lebih kompleks seperti Myanmar," katanya.
Anwar berkata Malaysia dan Kemboja berkongsi pandangan yang sama mengenai isu Laut China Selatan, Rusia-Ukraine, Semenanjung Korea dan Taiwan-China.
Beliau juga berterima kasih kepada Hun Sen kerana menganjurkan majlis iftar bersama ribuan orang Islam di Kemboja malam ini.
Anwar berkata, ia menggambarkan pemahaman Hun Sen terhadap toleransi dan rasa hormat terhadap kumpulan minoriti, yang Anwar anggap masih kurang di dunia buat masa ini.
"Terdapat begitu banyak kebencian, salah faham, dan sikap tidak bertoleransi, dan anda (Hun Sen) telah menunjukkan bahawa anda bersedia untuk menerima perasaan dan sensitiviti orang lain dan begitu baik hati menjemput saya menyertai anda dalam majlis besar ini," kata beliau.
Anwar berkata, beliau juga mengalu-alukan lawatan Hun Sen ke Kuala Lumpur nanti.
Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU berkenaan berkaitan Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.
Anwar kemudiannya dijadualkan menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.
Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin.
Pada majlis iftar dengan Hun Sen, golongan ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja, Anwar akan menyaksikan acara penyerahan 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer dan bahasa Inggeris dari Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja.
Beliau akan mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Serkal di sini sebelum berlepas pulang ke tanah air. - Bernama