Mufti Pulau Pinang setuju tauliah penceramah diselaras

Iklan
Wan Salim

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyambut baik cadangan untuk selaraskan sijil pentauliahan penceramah agama di semua negeri bagi mengelakkan timbul pertikaian pada masa hadapan.

Menurutnya, jika cadangan itu dapat dilaksanakan, ia akan memudahkan urusan pengajaran dan ceramah agama Islam di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Cuma perlu diambil kira bahawa hal ehwal agama adalah terletak bawah tanggungjawab negeri di mana Raja-Raja menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya berperanan sebagai penyelaras segala dari sudut pentadbiran termasuk aspek perjawatan bagi negeri-negeri," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan pandangan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani yang berpendapat bahawa sijil pentauliahan penceramah agama perlu diselaraskan di semua negeri bagi mengelakkan timbul pertikaian pada masa hadapan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengendali laman Facebook Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar memaklumkan dua ceramah beliau di Selangor pada 10 dan 11 Mac lalu dibatalkan.

Iklan

Dua ceramah berkenaan dijadualkan berlangsung di dua lokasi itu ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, sebab pembatalan ceramah berkenaan tidak dimaklumkan.

Sebelum itu, kuliah Maghrib perdana penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong di Shah Alam pada 26 Februari lalu turut dibatalkan.

JAIS kemudiannya mengesahkan UAI tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Sementara itu, Wan Salim berkata, kebimbangan akan berlaku ‘gelombang’ bantahan umat Islam berhubung isu terbabit hanya andaian semata-mata kerana mereka yang dilarang daripada mengajar dan berceramah hanyalah segelintir berbanding mereka yang diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah.