GEORGETOWN - Peniaga terutama di bazar Ramadan perlu memastikan makanan yang dijual berkualiti, bersih dan sedap dijamah oleh pelanggan, lebih-lebih lagi untuk berbuka puasa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, golongan peniaga juga perlu lebih bertimbang rasa dan bertolak ansur sesama penganut Islam terutama dalam bulan yang mulia ini.
Menurutnya, siapapun yang berniaga tentu mahu meraih keuntungan dalam jualan namun ia perlu berpada-pada dan tidak sampai menyusahkan pelanggan.
"Keuntungan yang sedikit tapi diberkati lebih baik daripada keuntungan yang banyak tapi tiada barakah.
"Barakah tu datang dengan pelbagai cara dan jalan. Kekadang pendapatan yang sedikit cukup untuk keperluan sekeluarga.
"Kalau tiada barakah, pendapatan banyak pun tak akan cukup selain mengundang faktor lain yang merugikan, kerap sakit, kehilangan itu dan ini, rosak itu dan ini dan lain-lain lagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Wan Salim berkata, sekiranya peniaga seorang muslim maka perlu memikirkan keredaan ALLAH dan bukannya fikir keuntungan sahaja.
Jelasnya, sebagai peniaga pastinya berhak mencari keuntungan, tetapi tidak sehingga menyusahkan orang lain, lebih-lebih lagi saudara seagama.
Katanya, ada hadis nabi yang bermaksud"Barangsiapa memudahkan (urusan) seorang muslim maka ALLAH akan memudahkan urusannya".
"Kita sedih mendengar rungutan orang ramai tentang wujudnya sebahagian peniaga di pasar Ramadan yang menjual makanan dengan harga lebih mahal daripada sepatutnya.
"Ada pula yang menjual makanan sudah basi atau rosak," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau meminta peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan tidak mengambil kesempatan terhadap keperluan orang ramai.
Katanya, di bulan Ramadan yang mulia ini adalah peluang keemasan bagi peniaga mencari pahala daripada ALLAH.
"Ingatlah bahawa Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara sesama umat Islam, malah antara sesama manusia.
"Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi menyeru kepada kasih sayang kepada kanak-kanak orang tua dan fakir miskin," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’
Tambah beliau, sikap sedemikian termasuk di dalam pengertian ‘Ihsan’ yang menjadi salah satu tinggak Negara Madani yang dijadikan slogan tetbaru oleh Perdana Menteri Malaysia ke Sepuluh (PM-X).