PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mempunyai potensi untuk mengakhiri kemarau pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei ini.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, kejayaan menjulang Piala Merlion memberikan petanda baik kepada skuad kendalian E Elavarasan bagi menghadapi Sukan SEA kali ini.
"FAM mengucapkan tahniah kepada barisan pemain muda negara yang berjaya membawa pulang Piala Merlion selepas 41 tahun menyertai kejohanan itu.
"Kejohanan itu adalah platform terakhir buat skuad B-22 negara bertemu pasukan lain sebelum menjalani latihan di dalam negara yang dijangka bermula 18 April ini.
Dalam kejohanan jemputan empat negara itu, Harimau Muda bermula garang dengan menundukkan Kemboja 4-2, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final.
Harimau Muda membuktikan kualiti yang dimiliki apabila menampilkan aksi dominan menumbangkan Hong Kong 2-1 dalam aksi final di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Ahad.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki adalah pada Sukan SEA 2011 yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan tuan rumah, Indonesia.
Dua tahun sebelum itu, barisan kendalian Datuk K Rajagobal turut cemerlang apabila meraih 'ibu emas' selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Vietnam pada aksi final di Vientiane, Laos.
Pada temasya Sukan SEA kali ini, FAM meletakkan sasaran buat skuad kendalian Elavarasan untuk melayakkan diri sekurang-kurangnya ke pentas final.