KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyediakan e-dompet bernilai RM20 untuk 6,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pemberian baucer tersebut dibuat sepanjang Ramadan tahun ini menerusi operator atau penyedia platform e-dompet yang bekerjasama dengan kementerian.
"Bagi memudahkan urusan, satu kaunter khas disediakan dan orang ramai boleh menembusnya sebelum memulakan pembelian," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau turun padang meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Menurut beliau, sempena hari pertama pelancaran iaitu pada Isnin, KPDN menyediakan insentif e-dompet sebanyak RM20 kepada 1,000 pengunjung terawal.
Ujarnya, ia bagi menggalakkan pengunjung mengunakan transaksi tanpa tunai, selaras dengan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) di bawah kementerian tersebut.
Azman memberitahu, peniaga pula akan menerima insentif e-dompet sebanyak RM30 kepada yang berdaftar dengan Aplikasi Boost, Bank Islam Malaysia Berhad dan Malayan Banking.
"Setakat ini seramai 80 daripada 190 peniaga di sini menawarkan Menu Rahmah.
"Antara yang ditawarkan ialah dua bungkus air untuk RM5, kambing golek, nasi kerabu, ayam madu bakar dan banyak lagi," katanya.