SHAH ALAM - Pelarian Rohingya tidak sepatutnya mendapat layanan istimewa, sebaliknya perlu mendapat lebih kecaman susulan sikap mereka yang biadab dan tidak mematuhi undang- undang sedia ada di negara ini.
Peguam, Norman Fernandez berkata, gesaan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom) supaya aktiviti xenofobia dan kempen kebencian terhadap pelarian itu dihentikan, tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, ini kerana etnik tersebut didakwa telah naik ‘tocang’ dan mula menganggap bahawa mereka adalah tuan rumah atau penduduk tetap di negara ini.
"Apabila sudah lama berada di Malaysia dan sudah meningkat jumlah, mereka (Rohingya) sudah mula naik tocang dan dan mula menganggap menjadi tuan di negara ini serta menuntut hak-hak seolah-olah mereka adalah warganegara.
"Kebencian rakyat Malaysia dan khususnya orang Melayu-Islam adalah kerana kebiadaban orang Rohingya dan mereka didapati tidak tahu untuk mengamalkan kebersihan dan tingkah laku yang sopan.
"Mereka juga dikenali sebagai orang yang tidak patuh undang-undang dan percaya bahawa dengan memiliki Kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian), mereka cukup kebal untuk lakukan apa sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sinar Ahad melaporkan Merhom menggesa supaya aktiviti xenofobia dan kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya di negara ini dihentikan.
Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menerima banyak laporan jenayah kebencian daripada mangsa pelarian Rohingya termasuk kes langgar lari dan serangan fizikal.
Menurut Norman, kesedaran penduduk negara yang semakin tinggi dan rasa simpati khususnya orang Melayu-Islam sudah tiada terhadap pelarian itu.
Jelasnya, kerajaan juga perlu memainkan peranannya dengan mendengar suara- suara rakyat yang semakin lantang mahukan orang Rohingya diusir.
"Apa yang kerajaan Malaysia perlu sedar ialah Myanmar tidak mengiktiraf orang Rohingya sebagai rakyat dan warganegara. Myanmar juga tidak akan membenarkan orang Rohingya kembali.
"Kedua negara-negara barat tidak akan memberi penempatan negara ketiga kepada Rohingya kerana mereka adalah orang Islam dan langsung tidak mempunyai apa-apa nilai kepada negara. Rohingya dilihat sebagai beban dan perlu menyediakan wang yang besar untuk menjaga kebajikan mereka.
"Seramai 57 negara Islam pun tidak mahu memberikan penempatan buat Rohingya. Sedangkan, negara-negara kaya Timur Tengah boleh mengambil orang Rohingya bekerja sebagai buruh tetapi enggan,” ujar beliau.
Sebaliknya, menurut Norman, negara-negara Islam mempertanggungjawabkan Malaysia untuk memikul beban tersebut dan menjadikan pelarian Rohingya sebagai tanggungan kekal negara.
Tambahnya, kesemua Rohingya yang berada di negara ini perlu diambil tindakan dengan menempatkan di kem pelarian supaya tidak diberi kebebasan bergerak yang seterusnya mengganggu ketenteraman awam.
"Kehidupan orang Rohingya tidak disekat kebebasannya di sini (Malaysia). Mereka bebas bergerak. Kalau ada kem, saya rasa mesti akan berkurangan kerana mereka tidak mahu duduk di situ,” ujarnya.