PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.
Ia berkaitan dengan ucapan Perdana Menteri itu semasa Kongres Nasional Khas PKR 2023, 18 Mac lalu.
Dr Mahathir berkata, notis tuntutan tersebut telah diserahkan ke pejabat Perdana Menteri pada Isnin menerusi firma Tetuan Rafique.
Menurutnya, walaupun Anwar tidak menamakan sesiapa di dalam ucapan tersebut namun rakyat memahami ia ditujukan ke atas beliau apabila menyebut pemerintahan 22 tahun dan 22 bulan.
Beliau berkata, di dalam ucapan tersebut Anwar turut melabelkannya sebagai scoundrel (penyangak) yang merupakan suatu perbuatan niat jahat.
"Scoundrel ini memberi gambaran buruk terhadap saya melainkan Anwar tunjuk bukti saya telah mendapat berbilion-bilion ringgit, melarikan duit ke luar negara dan tidak bayar cukai," katanya.
Dr Mahathir berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar perlu bertanggungjawab terhadap ucapannya.
"Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Dulu dia pernah cakap seperti itu (tetapi) bukan Perdana Menteri...
"Sekarang Perdana Menteri (dia) tidak boleh buat tuduhan sebegitu tanpa bukti jelas," katanya.
Sementara itu, dalam notis tuntutan yang diedarkan kepada pemberita, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, semua kenyataan yang dikemukakan Anwar adalah tidak benar serta bertujuan untuk menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk terhadap Dr Mahathir selaku anak guamnya.
"Ia telah mencalarkan imej anak guam kami sebagai seorang negarawan yang juga mantan Perdana Menteri dua kali serta mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin disegani di dunia," katanya.
Justeru beliau menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan yang dikeluarkan terhadap anak guam dan membuat permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dengan akujanji dalam tempoh tujuh hari.
Anwar yang juga Pengerusi PH ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini, berkata rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.
"Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.
"Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat," katanya.