SHAH ALAM - Pelepasan passport secara kekal yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikhuatiri akan menimbulkan persepsi negatif yang kononnya Pejabat Peguam Negara mengamalkan undang-undang dua darjat.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, undang-undang dua darjat yang dimaksudkan itu adalah satu untuk rakyat biasa dan kedua bagi para pemimpin politik khususnya mereka terlibat dengan pimpinan kerajaan.
"Persoalannya, kenapa pada 3 Februari lalu pihak pendakwa raya tidak membuat bantahan sedangkan pada dua tempoh ini Ahmad Zahid sudah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tanpa jawapan yang betul dan telus ia akan menampilkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat," jelasnya menerusi Facebook pada Selasa.
Pada 27 Februari 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan Ahmad Zahid mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia melakukan perjalanan antarabangsa untuk menghadiri sebarang majlis rasmi.
Panel tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan baharu dibuat Timbalan Perdana Menteri itu.
Dua lagi hakim yang bersidang untuk mendengar permohonan tersebut ialah Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong.
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, dia diarahkan untuk tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan dibuat Ahmad Zahid.
Mohamed Haniff Khatri turut mempersoalkan kecekapan Ahmad Zahid dalam menjalankan tugas sebagai menteri.
"Bagaimana beliau boleh fokus untuk bertugas dengan efisien memandangkan mempunyai komitmen lain dengan perlu hadir ke mahkamah jika diperlukan.
"Sedangkan dahulu kerajaan jelas mengatakan mereka ingin melakukan reformasi," ujarnya.