KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan usul berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun soalan yang sepatutnya ditanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) ditolak, pembangkang telah menyediakan usul tergempar.
"Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff), saya hadir ke sesi PMQT pagi ini.
"Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja.
"Tetapi saya sudah sediakan 'backup plan' semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, pembangkang akan mengemukakan usul berkenaan bagi meminta penjelasan tujuan lawatan Anwar yang didakwa satu tamparan hebat ke atas Malaysia.
Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat perlu tahu perkara hasil lawatan itu.
"Pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut," katanya.