Simpan lebih 30kg ganja dalam bangsal

Iklan
Ramli (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pahang pada Selasa.

KUANTAN - Polis membongkar kegiatan pengedaran ganja didalangi seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan di Jaya Gading di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan milik keluarganya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar jam 5.30 petang itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek menyimpan ganja di kawasan bangsal di sebuah rumah di Kampung Chendering di sini.

"Dengan dipandu arah oleh suspek ke lokasi penyimpanan itu, kita menemui satu guni yang di dalamnya terdapat dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dianggarkan berat 1.5kg.

Iklan

"Kita turut menjumpai satu bekas plastik yang terdapat 30 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja anggara seberat 30kg di dalam bangsal itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Ramli memaklumkan, suspek yang baru dua bulan terbabit dalam aktiviti pengedaran ganja itu didapati positif dadah methamphetamine dan mempunyai lapan rekod lampau atas kesalahan dadah.

Ramli menunjukkan dadah yang dianggarkan bernilai RMRM78,207.50 dirampas hasil daripada penahanan lelaki warga tempatan yang menetap di Kampung Chendering pada sidang akhbar yang diadakan pada Isnin.

"Suspek direman bermula 22 Mac sehingga hari ini (Selasa) dan reman tersebut akan disambung bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan," katanya.

Beliau menjelaskan, dalam serbuan berkenaan polis merampas lebih 31.5kg ganja bernilai RM78,207.50.

"Sindiket ini memperoleh bekalan dadah terbabit dari Kelantan untuk diedarkan ke daerah ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan penghantaran bekalan ganja ini melalui jalan darat," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Ramli memaklumkan, pihak JSJN berjaya membuat tangkapan 3,699 pesalah dadah dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Menurutnya, pada 19 dan Mac lalu, OP langgar Narco telah diadakan bagi memeriksa orang sekatan kes dadah di Pahang sama ada melanggar syarat setakat atau sebaliknya.

"Terdapat 91 individu yang diberikan sekatan kes dadah di mana empat individu daripada jumlah itu didapati melanggar syarat dengan tidak berada dalam kediaman mereka pada masa ditetapkan di dalam perintah sekatan.

"Jadi, mereka ini akan dikenakan hukuman penjara kerana melanggar syarat," katanya.