KUANTAN - Lelaki yang tular dalam satu video pada Ahad lalu kerana memukul imam jemputan di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 bukan sahaja mempunyai masalah mental, tetapi juga seorang penagih dadah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu positif dadah.
"Suspek kini telah ditahan atas kesalahan penggunaan dadah dan kesalahan kacau ganggu di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan," katanya pada satu sidang akhbar di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang disini pada Selasa.
Sebelum ini, tular satu rakaman video menunjukkan kejadian seorang lelaki kurang siuman telah memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, sekitar jam 6.18 pagi Ahad lalu.
Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan kain pelikat datang dari arah belakang jemaah lalu bertindak menolak jemaah sebelum memukul imam jemputan terbabit dengan sepasang selipar berwarna putih.
Pihak Masjid Sultah Ahmad Shah 1 bagaimanapun dalam pengumuman mereka meminta agar orang ramai menghentikan penularan video terbabit dan tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak yang akan berhadapan dengan tindakan undang-undang disebabkan penyebaran video tersebut.
Beliau menjelaskan kesan daripada pengambilan dadah, suspek dipercayai telah berhalusinasi dan mendengar imam yang memimpin solat subuh ketika itu memanggil namanya.
Katanya, ini menjurus kepada suspek bertindak sedemikian.
"Suspek juga merupakan gelandangan yang menjadikan masjid dan Mahkota Square sebagai tempat tidur dan merayau.
"Kini, suspek telah dibawa ke hospital bagi menjalni pemeriksaan psikatri,” ujar beliau.