KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Cadangan memisahkan kuasa dan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya sedang dalam kajian, namun pelaksanaannya agak rumit dan akan mengambil masa kerana melibatkan implikasi kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, secara prinsipnya, ramai yang setuju dengan cadangan pemisahan kuasa itu, tetapi pada peringkat pelaksanannya ia masih diteliti kerana kesan implikasi kewangan tambahan adalah hampir RM300 juta.
"Tetapi saya setuju dia (soal implikasi kewangan) bukanlah pertimbangan utama kerana yang utama adalah memastikan (kuasa) Peguam Negara dan proses pendakwaan adalah telus dan bebas,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (Miri-PH) sama ada kerajaan bersedia dalam masa terdekat untuk melaksanakan pemisahan jawatan dan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara demi mengelakkan sebatang spekulasi bahawa terdapat pendakwaan terpilih terhadap ahli politik.
Sementara itu, Anwar tidak menafikan terdapat pemimpin politik dari blok kerajaan dan pembangkang yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa, namun sama ada pendakwaan dilakukan atau tidak, ia tertakluk kepada Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-PN) sama ada terdapat sebarang siasatan terhadap ahli Parlimen kerajaan dan siasatan dana politik terhadap parti politik pihak kerajaan supaya tidak wujud pertikaian adanya pendakwaan terpilih.
Mengulas tentang tentang perkara berkenaan, Anwar berkata undang-undang sedia ada membolehkan derma diberikan kepada parti politik, namun pendakwaan melibatkan dana parti politik sebelum ini adalah terkait dengan pemberian kontrak.
"Tentang siasatan dana politik, saya tidak ada masalah (siasatan terhadap parti kerajaan), tetapi kena faham undang-undang sekarang membolehkan derma kepada parti politik.
"Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini ialah pendakwaan yang terkait dengan kontrak yang diberikan, jadi kalau ada kekhuatiran bahawa ada unsur rasuah dalam derma kepada parti Keadilan, itu boleh dibangkitkan, saya tidak ada masalah," katanya.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat punca dana politik diberikan kepada PKR. - Bernama