SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat lalu mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara dua anak pelakon, Farid Kamil yang berusia 10 dan lapan tahun kepada isterinya, Diana Danielle.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle atau nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas pelakon Imaginur ini membuat permohonan hadanah pada 23 Mac lepas.
"Pada sebutan kes hari ini, kita telah menyerahkan perintah yang diberi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung perkara itu.
Sementara itu, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, berkata, hampir 23 hari dia tidak dapat bertemu dua anaknya itu.
Pelakon Lagenda Budak Setan ini berkata, keretakan rumah tangganya berpunca daripada ‘pihak ketiga’ namun enggan mendedahkan isu berkenaan dengan lebih terperinci.
"Boleh tanya pada Diana, sebab ikutkan saya, nak tegakkan hak sebagai suami kerana rumah tangga telah diganggu, rasa sangat tidak adil diperlakukan sebegini.
"Saya memujuknya di mahkamah, cuba sedaya upaya atas kesalahan yang tidak munasabah tapi saya dimaklumkan bahawa ada pihak ketiga yang menyokongnya daripada belakang,” katanya.
Dia yang juga pelakon filem Anwar, The Untold Story berkata, kecurangan berjaya dihidu pada tahun lalu , amun setelah dia menuntut jawapan, Diana Danielle telah memfailkan perceraian.
Sementara itu, Diana Danielle berkata, tuduhan yang dilemparkan suaminya berhubung isu orang ketiga, adalah fitnah.
"Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi, dia dah hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini nak beri semula.
"Kalau saya curang, kenapa bawa bunga dan nak beri cincin itu,” soal Diana Danielle.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Akberdin berkata, dakwaan Farid adalah alasan semata-mata.
"Perkara itu tidak pernah dibangkitkan, selepas fail ini, baru semua benda ini keluar, biarlah mahkamah yang buat keputusan," katanya.
Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid, awal bulan ini.
Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut.
Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.