GEORGETOWN - Tindakan kerajaan memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bermula tahun ini disifatkan sebagai tindakan antirakyat dan antianak muda.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Kerajaan PH-UMNO itu akan memusnahkan usaha menggalak penabungan pendidikan demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak bangsa.
Menurutnya, akibat daripada pemansuhan cukai itu juga menyebabkan anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN.
"Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap antirakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN. Kenapa anak muda dilayan seperti ini?" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Usaha saya itu bagi menggalakkan rakyat menabung demi masa depan anak bangsa. Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.
"Saya dan pegawai-pegawai kanan PTPTN naik turun Pejabat Menteri Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri berkali-kali pada 2018 dan 2019 untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebagai penggalak penabungan lebih besar. Saya berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan bermula Belanjawan 2019," katanya.
Wan Saiful menambah, hasil daripada usahanya itu, jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun.
"Pada 2017, jumlah deposit hanya RM726.84 juta. Apabila saya mengambil alih jawatan Pengerusi PTPTN pada 2018, saya memulakan penekanan kepada penabungan. Hasil usaha keluarga PTPTN, jumlah deposit SSPN meningkat signifikan menjadi RM1.14 bilion (2018), RM1.37 bilion (2019), RM1.99 bilion (2020) dan RM3.01 bilion (2021).
"Jelas sekali apabila saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019, ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN. Tetapi langkah yang mesra rakyat ini lah yang mahu dihapuskan oleh PH-UMNO," katanya lagi.
Beliau menambah, tindakan kerajaan itu juga menyebabkan ibu bapa hilang insentif untuk menabung SSPN manakala hutang PTPTN anak muda akan terus meningkat.
"Ibu bapa dan anak muda yang menabung dalam SSPN perlu ingat tindakan kerajaan yang tidak wajar ini. PH-UMNO pasti akan beri pelbagai alasan kenapa mereka menghapuskan pelepasan cukai untuk simpanan SSPN.
"Mungkin mereka akan kata bahawa pelepasan cukai memberi manfaat kepada mereka orang yang mampu menabung sahaja. Sebenarnya, memang lah dalam menggalakkan penabungan, kita menyasarkan golongan yang mampu menabung.
"Ini kerana, kita tidak mahu mereka terus berhutang, sedangkan mereka mampu menabung demi pendidikan anak bangsa. Maka insentif itu adalah alat yang berkesan dan kumpulan sasarnya juga adalah tepat," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim mengumumkan bahawa bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven juga mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.
Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.