KUALA TERENGGANU - Peluang keemasan menyaksikan penyu bertelur tidak dilepaskan oleh sekumpulan pemancing yang terserempak dengan reptilia marin itu ketika memancing di Pantai Pandak Chendering di sini malam Isnin.
Hasbullah Haliba, 26 berkata, dia terserempak dengan penyu dianggarkan seberat 50 kilogram itu bersama beberapa rakannya ketika memancing di sekitar kawasan itu kira-kira jam 7.30 malam.
"Ketika sampai di situ untuk memancing, tiba-tiba kami ternampak seekor penyu naik ke daratan untuk bertelur.
"Disebabkan bimbang ibu penyu itu terganggu ketika bertelur, kami hanya memerhatikan dari jauh sahaja. Selepas tiga jam, barulah ibu penyu itu kembali ke laut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Hasbullah berkata, pengalaman terserempak penyu itu adalah pengalaman berharga dan turut berkongsi bukti penemuan itu di laman sosial Facebooknya.
"Mula-mula jumpa tu terkejut juga sebab tak pernah alami situasi itu. Ini adalah pengalaman kali pertama saya melihat sendiri proses penyu bertelur di depan mata.
Video berdurasi 18 saat memaparkan seekor ibu penyu turun ke laut sebaik selesai proses yang dirakam Hasbullah mendapat perhatian warga maya.
Berdasarkan video itu, penyu tersebut dipercayai daripada spesies penyu agar dan proses bertelur berjaya kerana kelihatan banyak pasir berada di atas karapasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, laporan mengenai kehadiran penyu tersebut diterima dan beberapa kakitangan telah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
"Kawasan tersebut bukan berada dalam kawasan pajakan. Jika terdapat penemuan telur, ia akan diambil oleh pihak jabatan untuk dieram sebelum dilepaskan ke perairan," katanya.
Menurut Ruzaidi, ketika ini terdapat penyu yang akan mendarat kerana musim bertelur telah tiba.
"Sekarang merupakan musim untuk haiwan itu bertelur. Jadi kita harap orang ramai tidak mengganggu atau mengambil apa-apa tindakan sekiranya terjumpa penyu bertelur.
"Laporkan segera penemuan penyu ini kepada Jabatan Perikanan untuk kita memantau kehadiran penyu itu serta menyelamatkan ia dari sebarang ancaman," katanya.