Rezeki pensyarah seni bina IUKL

Iklan
Pensyarah Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Azrin Abu Seman (kiri) bersama dua anggota pasukannya, Mohd Talha Ibrahim dan Mohd Puzi Ibrahim dinobatkan sebagai naib juara Pertandingan Rekaan Balkoni Tercantik sempena KL Park Festival 2023.

Rekaan bertajuk Anjung Inspirasi, Seni Berkarya berjaya pikat hati juri profesional

KUALA LUMPUR - 'Anjung Inspirasi, Seni Berkarya' hasil rekaan pensyarah Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Azrin Abu Seman berjaya memenangi tempat kedua kategori Pertandingan Rekaan Balkoni Tercantik sempena KL Park Festival 2023. Kemenangan itu melayakkan beliau menerima wang tunai RM4,000 bersama trofi.

Hasil rekaan bertajuk Anjung Inspirasi, Seni Berkarya oleh Azin dan pasukannya berjaya memikat hati para juri profesional.

Iklan
Iklan
Menurut Azrin, beliau bersama dua anggota pasukannya, Mohd Talha Ibrahim dan Mohd Puzi Ibrahim mengambil masa hampir tujuh hari bagi menghasilkan rekaan susun letak bagi ruang balkoni tersebut sebelum dihantar bagi penilaian-saringan peringkat pertama.

"Selepas melepasi saringan pertama, daripada hampir 50 penyertaaan, Alhamdulillah rekaan saya terpilih bersama 19 lagi penyertaan lain yang diberikan wang tunai RM2,000 bagi menterjemahkan rekaan tersebut secara fizikal di tapak festival yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa. Kesemua 20 tapak pameran balkoni tersebut sekali lagi dinilai oleh para juri profesional.

Iklan

"Anjung Inspirasi, Seni Berkarya mengetengahkan konsep hijau dan memaksimumkan fungsi balkoni yang sering dikaitkan dengan kepanasan.

"Kita sudah terdidik dengan keselesaan maksudnya tidak panas, selalunya ruang balkoni terbiar berdebu atau menjadi tempat menyidai baju atau yang paling teruk menjadi tempat merokok. Pendek kata, balkoni adalah merupakan anjung kecil pada rumah bertingkat adalah ruangan yang paling jarang dimaksimumkan penggunaannya,” jelas beliau lagi yang juga merupakan seorang pelukis abstrak.

Iklan

Azrin berbangga apabila ilham rekaan anjungnya berasaskan tumbuhan dan karya seni dipilih sebagai pemenang tempat kedua.

Tambah Azrin, beliau dan pasukannnya memikirkan konsep balkoni yang di inspirasikan dari gaya Seni Pop (Pop Art) yang ditafsirkan sebagai reaksi kepada idea-idea dominan dan gaya lukisan abstrak serta suasana perkembangan yang berlaku pada masyarakat moden sekarang.

Seni Pop juga ialah satu bentuk ekspresi manusia yang bertujuan untuk menghibur dan menggembirakan manusia serta dapat menunjukkan keindahan dan menimbulkan sentimen yang kuat dalam pelbagai elemen kehidupan.

Ujarnya lagi, masyarakat Malaysia semakin sedar tentang kepentingan tumbuhan hijau dalam rumah. Kesedaran ini disebabkan tumbuhan hijau bukan sahaja mencantikkan ruang dan dapat memperbaiki pengudaraan, tetapi ia juga boleh meningkatkan tahap tumpuan kita.

"Oleh itu, saya mengabungkan elemen Seni Pop dan tumbuh-tumbuhan yang bersesuaian dengan konsep serta keperluan Pertandingan Rekaan Balkoni Tercantik ini.

"Secara keseluruhannya, penampilan rekabentuk balkoni ini memberi ilham kepada pemilik ketika berkarya dengan unsur atau elemen pop art melalui warna yang elegan, vibran dan membangkitkan lagi mood atau suasana karya seni terhadap pemilik,” terang Azrin lagi.

Selain memberi idea segar kepada para pengunjung KL Park Festival 2023, pertandingan balkoni tercantik ini juga dapat menjadi rujukan kepada para pelajar dalam bidang seni bina dan rekaan industri mendapatkan idea-idea baru bagi keperluan pembelajaran mereka.

Untuk rekod KL Park Festival 2023 berlangsung dari 4 hingga 12 Mac lalu yang bertemakan Laman Seni dan Flora Malaysia merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengalakkan orang ramai menghargai keindahan alam sekitar berteraskan kehidupan moden dalam konteks urbanisasi secara alami.