Yayasan Petronas beri bantuan makanan

Iklan
Halimaton Saadiah (kiri), Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) dan Shariah Nelly (dua dari kanan) menyerahkan bekalan makanan asas dan perayaan kepada waris pada penyerahan khas majlis Memacu Kehidupan: Program Hari Raya Aidilfitri 2023 di Masjid As-Salam, di Sik, Kedah.

SHAH ALAM - Yayasan Petronas telah melancarkan Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 bagi memberi bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut kenyataan, program yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu adalah bagi memastikan golongan sasaran dapat menyambut musim perayaan yang akan datang dengan penuh kegembiraan.

Iklan
Iklan

Tambahnya, program itu itu adalah bagi menyokong inisiatif Bakul Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jelas kenyataan, program yang turut disokong oleh Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu akan menyediakan keperluan asas makanan dan bekalan makanan perayaan seperti pulut, santan, pes rendang dan sambal kacang.

Iklan

"Pengagihan tahun ini juga termasuk kad hadiah dari Petronas untuk waris membeli bahan api dan barangan Kedai Mesra di stesen Petronas,” kata kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, wakil daripada Petronas, Yayasan Petronas dan JKM telah melawat penerima yang dikenal pasti di rumah mereka bagi mengagihkan barangan keperluan itu di Kedah.

Iklan

Menurut kenyataan, majlis penyerahan khas telah diadakan di Masjid As-Salam di Sik dan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis berkata, melalui inisiatif Memacu Kehidupan yang menyalurkan keperluan itu bertujuan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

"Kami faham bahawa musim perayaan boleh menjadi sukar untuk mereka yang kurang bernasib baik dan Yayasan Petronas komited untuk melakukan bahagian kami untuk menjadikan musim perayaan ini lebih cerah untuk individu dan keluarga ini.

"Yayasan Petronas berbesar hati menyokong inisiatif bermakna ini bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta KPDN. Program ini direka untuk menyediakan bukan sahaja makanan, tetapi juga untuk mewujudkan rasa kemasyarakatan dan sokongan semasa musim perayaan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Wilayah Utara dan Pusat Petronas, Zukifli Othman berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan JKM bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan mereka yang layak akan menerima manfaat daripada program itu.

Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 akan diteruskan ke daerah dan wilayah lain dalam beberapa minggu akan datang dengan acara pelancaran peringkat kebangsaan akan berlangsung pada pertengahan April.