JUARA Liga Super musim ini akan menerima wang hadiah kemenangan berjumlah RM2.4 juta menerusi sistem agihan pendapatan berasaskan merit 2023-2025 yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Pengenalan sistem agihan itu turut membolehkan enam kelab teratas tidak termasuk juara, meraih lebih RM1 juta sementara pasukan tercorot tetap membawa hadiah kemenangan berjumlah RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada musim lepas.
Kadar agihan pendapatan kepada keseluruhan 14 kelab yang bertanding musim ini menyaksikan peningkatan sebanyak 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, sebanyak RM6.95 juta akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim sementara juara dan naib juara Piala MFL masing-masing menerima RM500,000 dan RM250,000.
"Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada rakan kongsi liga dalam pertemuan bersama kesemua CEO kelab Liga-M pada 15 Februari lepas. Sistem ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim Liga-M 2023.
"Pembentangan yang dibuat mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya dalam kenyataan MFL pada Selasa.
Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan kancah saingan domestik.
Beliau berkata, MFL melihat sistem agihan pendapatan itu akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan.
"Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga-M dapat terus dikomersialkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab,” katanya.
Sebagai rekod, susulan impak pandemik Covid-19 yang melanda, agihan pendapatan bagi musim 2021 dan 2022 dilakukan berdasarkan dua asas iaitu yang pertama agihan sama rata sebanyak RM500,000 dan RM250,000 masing-masing kepada setiap kelab Liga Super dan Liga Premier.
Asas kedua ialah hanya kelab yang menamatkan saingan Liga Super dan Liga Premier dalam kelompok tiga teratas akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan. - Bernama