Rumah dibadai ribut, dihempap pokok ketika tunggu waktu berbuka

Iklan
Hasmah (kiri) bersama anaknya, Mohd Farrez Haqimee menunjukkan keadaan rumah mereka selepas dibadai ribut petang semalam. - Foto Bernama

KUALA KRAI - Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila rumah mereka Kampung Ingin Maju, di sini, dibadai ribut ketika melakukan persiapan berbuka puasa, petang semalam.

Hasmah Awg Kechik, 62, berkata, ketika kejadian dia berada di dapur apabila angin kencang bersama hujan secara tiba-tiba menerbangkan bumbung bahagian dapur rumahnya.

Iklan
Iklan

Hasmah berkata, dia bernasib baik apabila suaminya Mohamad Asri Ibrahim, 63, turut berada di rumah ketika itu bertindak lebih tenang dengan melaungkan azan dan membaca ayat Kursi dalam sepanjang detik cemas tersebut.

Keadaan rumah Hasmah yang mengalami kerosakan pada bumbung bahagian dapur selepas dibadai ribut petang semalam. - Foto Bernama

"Kejadian berlaku pada jam kira-kira 6.30 petang ketika itu saya sedang membasuh pinggan di sinki sebelum berlaku angin kuat bersama hujan lebat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, angin kencang turut mengakibatkan sebatang pokok Machang di belakang rumah tumbang lalu menghempap sebuah bilik yang terletak berdekatan bahagian dapur rumah mereka.

Menurut Hasmah, ekoran daripada itu, rumah yang didiami mereka selama 33 tahun mengalami kerugian hampir RM50,000 akibat kerosakan di bahagian bumbung dapur, bilik dan ruang tamu malah dinding bilik juga runtuh.

Iklan
Hasmah mengemas barangan di bahagian ruang dapur rumahnya yang mengalami kerosakan selepas dibadai ribut petang semalam. - Foto Bernama

"Ini adalah kali kedua berlaku tetapi ia lebih teruk berbanding kejadian dua tahun lalu yang hanya membabitkan atap bahagian dapur," katanya.

Hasmah berkata, kini mereka tinggal di rumah anak mereka, Mohd Farrez Haqimee Mohamad Asri, 29, yang tinggal berdekatan.

"Perasaan kami kini bercampur baur sedih, sayu dan hiba tambahan mengenangkan tidak lama lagi akan menyambut hari raya. Namun saya reda dan menganggap ini adalah ujian buat kami sekeluarga pada bulan Ramadan ini," katanya. - Bernama