Wan Ahmad Fayhsal minta petua dalam Dewan Rakyat

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR - Selepas usul berhubung lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi ditolak, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sekali lagi membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, beliau sudah menerima jawapan balas daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan meminta cadangan saluran lain yang dibolehkan untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Soalan saya pagi tadi (Selasa) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga ditolak. Saya nak minta petua, apakah saluran lain yang boleh saya bawa untuk Kementerian Luar Negeri menjelaskan kepada kami apa yang berlaku di Arab Saudi minggu lalu.

"Mohon petua daripada Yang Dipertua,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, PN menyifatkan lawatan Anwar ke Arab Saudi sebagai gagal ekoran tidak membabitkan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman walaupun Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan jemputan itu adalah undangan kerajaan Arab Saudi

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor dilihat memberi ‘petua’ seperti yang diminta dengan menyatakan sekiranya Wan Ahmad Fayhsal masih tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat, beliau boleh kemukakan usul itu sekali lagi dalam dewan berkenaan.

Iklan

Tegasnya, semua peraturan itu sepatutnya menjadi 'makan minum’ ahli-ahli Parlimen selain mengingatkan mereka supaya terus berhemah agar Dewan Rakyat tidak dilabel sebagai zoo.

"Tak perlu banyak, kuasai (peraturan mesyuarat) 35, 36, 37, 41, 42, 43, 44, 98, 99A. Tetapi kadang-kadang manusia, benda dah tahu kata tak tahu. Saya faham, ini (melibatkan) politik, (persidangan Dewan Rakyat) ditayangkan (secara) langsung, jadi berhad-hadlah.

"Jangan kita, seperti saya kata dahulu, di luar sana mengenali dewan ini sebagai zoo. Itu menyedihkan,” ujarnya.