KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, skim tersebut merupakan satu inisiatif untuk memastikan kebanyakan rakyat mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 bukan satu jumlah yang kecil. Dengan menghentikan pelepasan cukai ini secara tidak langsung ia akan membantutkan usaha menggalakkan golongan pertengahan untuk melabur dalam pendidikan anak-anak mereka,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Selasa.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata, bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam Skim SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan, tindakan yang diambil oleh kerajaan itu akan merampas peluang keluarga golongan pertengahan untuk melabur bagi masa depan pendidikan anak-anak mereka.
Malah ujarnya, situasi itu juga berkemungkinan menyebabkan hasrat golongan berkenaan untuk melabur bagi pendidikan anak-anak mereka menurun disebabkan tiada lagi insentif sebegitu buat mereka.
"Simpanan SSPN bukanlah bertujuan membeli barangan mewah, sebaliknya ia diperuntukkan untuk pendidikan anak-anak.
"Negara yang memberikan insentif untuk pelaburan awal bagi pendidikan anak-anak adalah negara yang juga melabur untuk masa depan negara itu sendiri.
"Sebab itu jika dilihat pada tahun 2021, sekitar 45,000 pelajar kita tercicir. Tahun lepas 360,000 anak muda yang tidak ingin menyambung pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Data ini menunjukkan bahawa kita perlu memberikan insentif yang unik supaya anak-anak muda dapat melanjutkan pengajian mereka untuk ke universiti,” katanya.
Menurut beliau, di peringkat Parlimen Muar pula, Pusat Khidmat Parlimen Muar sebelum ini telah mengadakan satu kerjasama erat dengan pihak SSPN untuk membuka akaun SSPN dengan Geran Sepadan untuk anak-anak Muar dari keluarga yang kurang berkemampuan dalam usaha membasmi kemiskinan dan keciciran pelajaran.
"Sebanyak RM322,000 telah diperuntukkan untuk 400 orang pelajar. Kerjasama erat ini dibuat atas dasar percaya yang pendidikan adalah satu jalan utama untuk membasmi kemiskinan dan memacu keadilan sosial
"Data menunjukkan apabila saya memberikan RM500 kepada anak-anak seawal umur tujuh tahun, ibu bapa ada insentif yang lebih besar untuk turut menabung setiap tahun,” tambahnya.