Tragedi ikan buntal: Isteri maut, suami di ICU

Iklan
Seorang wanita meninggal dunia manakala suaminya dirawat di ICU HEBHK selepas makan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu. - Gambar hiasan

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita meninggal dunia manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini selepas makan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sebelum itu wanita berkenaan mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada jam 3 petang dan dikejarkan ke HEBHK oleh anaknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kira-kira sejam kemudian suami mangsa pula turut mengalami gejala sama.

"Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam manakala suaminya masih dirawat di ICU

Iklan

"Pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal daripada penjual secara pra tempahan melalui Facebook (FB)," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selepas menerima ikan tersebut Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan ia adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan ikan buntal.

Iklan

"Siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat," katanya.

Beliau berkata, penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.

"Sebanyak 15 kilogram ikan sudah dijual masing-masing kepada empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.

"Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu," katanya.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkenaan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa.

Jelas beliau, sehingga kini tiada lagi pelaporan baharu berkaitan dengan ikan buntal.

"Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui," katanya.