Dapat rumah baharu, Ramadan lebih bermakna buat guru KAFA

Iklan
Nurfizah bersama keluarganya dihadapan rumah baharunya.

REMBAU - Kedatangan Ramadan tahun ini lebih bermakna buat sebuah keluarga di Kampung Titian Akar di sini apabila dapat menjejakkan kaki ke rumah baharunya selepas hampir 17 tahun tinggal di rumah pusaka yang uzur.

Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Nurfizah Nikmat, 45 berkata, menyifatkan rumah baharu yang dibina melalui Tanggungjawab Sosial Korporat, projek Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu merupakan hadiah buatnya sekeluarga sempena bulan Ramadan dan Syawal ini.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini kami tinggal di rumah pusaka arwah ibu dan ayah dekat sini, namun keadaannya sudah terlalu daif.

"Bumbung bocor, dinding rumah juga hampir reput selain tandas juga ditutupi menggunakan papan lapis dan kanvas berikutan kami tidak mampu untuk membaik pulih rumah kerana pendapatan kami tidaklah seberapa," katanya.

Iklan

Nurfizah berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman baharunya di kampung berkenaan pada Program Penyerahan Rumah Baitijanatti TNB peringkat Negeri Sembilan, Selasa.

Hadir sama, Pengurus Perhubungan Pemegang Taruh TNB Negeri Sembilan, Zahrul Effendy Shahid dan Penyelaras DUN Kota, Muhamad Allif Ibrahim.

Iklan

Ujar Nurfizah, dia memohon rumah di bawah projek TNB itu tiga tahun lalu sebelum membuat keputusan untuk menyewa rumah lain yang berhampiran kampung ini pada Mac tahun lepas.

"Kami tahu permohonan rumah kami di luluskan tahun lalu dan pembinaannya alhamdulillah tidak sampai dua bulan. Awal tahun ini, kami sudah mula dapat menduduki rumah ini dan pertama kali menyambut Ramadan di rumah sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Mahamad Farizan Mahamad dalam satu kenyataan berkata, projek 'Baiti Jannati' atau Rumahku Syurgaku merupakan salah satu program Tanggungjawab Korporat TNB.

"Ia bagi menzahirkan saranan Kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti TNB membantu kerajaan untuk membaiki rumah kediaman golongan sasaran yang memerlukan, antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di luar bandar.

"Konsep membina sebuah rumah baru diperkenalkan dan menggunakan peruntukan agihan semula zakat perniagaan TNB yang diterima daripada negeri- negeri yang bersetuju untuk memulangkannya.

"Kos pembinaan rumah ini sebanyak RM65,000, dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu yang selesa dan tandas yang sempurna. Diharapkan ianya akan memberi keselesaan kepada keluarga Norfizah. Terimalah hasrat murni TNB ini dengan kesyukuran dan sentiasa bersabar dalam menjalani kehidupan seharian," katanya.