SHAH ALAM - Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) perlu berbincang dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi mencari solusi menang-menang berhubung saranan mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dilakukan dengan mengambil kira pandangan MTUC dan pihak-pihak tertentu.
"Maknanya pihak pekerja menang dan kerajaan boleh menampung keperluan gaji yang dicadangkan ini.
"Memang kita tahu gaji sekarang ini dengan kos sara hidup yang tinggi ini memang tidak mencukupi tetapi kita perlu faham bahawa negara sekarang pun sudah mula untuk meningkat kembali setelah mengalami masalah ekonomi yang agak lama.
"Jadi ini kita kena seimbangkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan Bersama Anak Yatim anjuran Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani mencadangkan supaya kerajaan perlu mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta bagi mengurangkan belanja sara hidup.
Menurutnya, semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya bertindak demi kepentingan tertentu.