Harimau Malaya mengaum lagi di Iskandar Puteri

Iklan
Kesebelasan utama Harimau Malaya pada aksi berdepan Hong Kong, malam tadi. - Foto FAM

SKUAD Harimau Malaya melakar kemenangan kedua pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 apabila menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad kendalian Kim Pan-gon itu setelah menewaskan Turkmenistan dalam satu lagi aksi persahabatan di venue sama, 23 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, skuad negara dilihat agak cemas pada awal perlawanan bagi mengekang asakan pantas pelawat yang bermula garang sebaik wisel permulaan.

Malah, asakan-asakan yang dilancarkan hampir membuahkan hasil pada minit ke-4, namun tandukan pemain Hong Kong, Vasudeva Nunez terkena tiang gol sebelum dikeluarkan pertahanan tuan rumah.

Iklan

Tersentak dengan serangan pantas itu, skuad negara mula bangkit mengatur gerakan ke gawang Hong Kong dan hasilnya Akhyar Rashid berjaya meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-18.

Seminit berselang Akhyar hampir meledak gol kedua skuad negara namun rembatannya sekadar melewati palang gol.

Iklan

Begitupun Hong Kong hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-34, namun rembatan penyerang, Poon Pui Hin sedikit tersasar, biarpun berjaya melepasi kawalan pertahanan negara termasuk penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang sudah pun tertewas.

Skuad negara kemudiannya menjaringkan gol kedua hasil rembatan leret Faisal Halim pada minit ke-41.

Faisal berjaya melepasi kawalan pertahanan Hong Kong, sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Yapp Hung Fai buat kali kedua malam tadi.

Skuad negara dilihat terus mengasak ke gawang pelawat bagi menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, giliran skuad negara pula bermula garang dengan mengasak gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan, namun asakan-asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.

Namun deretan peluang terhidang gagal disempurnakan jentera serangan skuad Harimau Malaya itu dan malah menyaksikan Hong Kong pula yang sesekali berjaya mengatur asakan berbahaya bagi merapatkan defisit gol.

Di pertengahan babak kedua, Hong Kong dilihat mula menggandakan asakan ke gawang skuad negara namun benteng pertahanan skuad negara yang dikemudi kapten, Dion Cools dan Shahrul Saad kekal ampuh selain ketangkasan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menangkis asakan pemain lawan.

Sehingga ke penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat terus buntu untuk menjaringkan gol dan menyaksikan kedudukan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat.

MALAYSIA – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Shahrul Saad, Faisal Halim, Darren Lok, Nooa Hamzah Laine, Paulo Josue, Akhyar Rashid, Dion Cools (kapten), La’vere Corbin Ong, Nor Azam Azih, Quentin Cheng

HONG KONG – Yapp Hung Fai (kapten), Vasudeva Nunez, Huang Yang, Wu Chun Ming, Leung Kwun Chung, Li Ngai Hoi, Poon Pui Hin, Awal Mahama, Yue Tsz Nam, Sun Ming Him, Ju Yingzhi

PENGADIL – Mongkolchai Pechhri