Tun M cipta topik kontroversi tarik perhatian rakyat - Hasan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Profesor Datuk Dr Hasan Mad menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mahukan perhatian rakyat dengan mencipta topik kontroversi apabila mendakwa orang Melayu menjadi miskin selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Hasan berkata, Penasihat Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu itu berbuat demikian sebagai talian hayat untuk pastikan beliau dilihat masih aktif dalam kancah politik negara.

Iklan
Iklan

"Jadi pada pendapat saya, apa sahaja kenyataan atau tindakan beliau seeloknya kita tak ambil perkara itu secara serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Dr Mahathir pada Isnin bahawa orang Melayu hilang segalanya dan miskin selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Iklan

Menurut Dr Mahathir, beliau berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan beliau hilang jawatan.

Dalam pada itu, Hasan berkata, orang Melayu sudah lama dikaitkan dengan isu kemiskinan hidup dan bukannya disebabkan beliau tidak lagi menerajui negara.

Iklan

Malah, dakwa Hasan, isu kemiskinan terus membelenggu orang Melayu berpunca daripada Dr Mahathir sendiri yang bertindak menamatkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Pelaksanaan DEB sebenarnya sudah ada kemajuan dari segi pembasmian kemiskinan terutama bagi orang Melayu dan juga dari aspek menghapuskan jurang pendapatan dengan kaum lain, umpamanya membabitkan peningkatan ekuiti serta peluang pekerjaan.

"Tetapi Dr Mahathir lah yang menamatkan DEB kerana dasar ini semasa digubal pada tahun 1970 bukan menetapkan ia hanya mahu dilaksanakan bagi tempoh 20 tahun. Jadi kenapa beliau nak bising sekarang?” soal beliau.