SHAH ALAM - Kerajaan pasti bersedia untuk menaikkan kadar gaji yang diterima graduan kemahiran atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di sektor awam sekiranya kewangan negara semakin stabil.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, buat masa sekarang kerajaan masih terbeban dengan hutang negara iaitu sebanyak RM1.5 trilion.
Katanya, berikan sedikit masa kepada Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang berkaitan dengan ekonomi antaranya meningkatkan pendapatan dan memastikan kestabilan nilai ringgit.
"Pada pandangan saya tiada masalah untuk perkara tersebut, namun perlu lihat kepada kemampuan kerajaan. Insya-ALLAH apabila semuanya sudah stabil, kita yakin Kerajaan Madani ini sentiasa dengar keluhan dan permintaan rakyat.
Sebelum ini, Pensyarah Utama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra, Kedah, Norasmah Saad menyokong kenyataan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) agar kerajaan perlu segera mengkaji kadar gaji rendah yang diterima graduan kemahiran atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di sektor awam.
Katanya, pemberian gaji rendah itu akan mendatangkan kesan negatif antaranya tenaga kerja dalam sektor tersebut akan berkurangan pada masa hadapan.
Difahamkan pemegang diploma atau ijazah kejuruteraan dan teknologi dari institusi tersebut menerima gaji kurang RM400 hingga RM500 berbanding graduan daripada universiti lain apabila mereka menyertai sektor awam.
Tambah Mohd Sany, pihaknya bersedia untuk mengetengahkan isu tersebut di Parlimen.
"Apa sahaja usaha untuk membantu dan meringankan beban rakyat saya setuju. Bukan isu gaji sahaja diperjuangkan malah banyak perkara lain seperti banjir. Kami faham masalah mereka ditambah dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
"Ramai lagi pihak menuntut kenaikan gaji dan elaun. Cuma, sumber dan pendapatan kerajaan menghalang untuk kerajaan berbuat demikian,” ujarnya.