PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan misi kelab itu belum selesai dan bertekad untuk menjuarai Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Menurut Tunku Ismail, JDT mahu terus mencipta sejarah dan menjadi pasukan yang mendominasi saingan liga buat satu dekad.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor juga mahu melihat penyokong skuad Harimau Selatan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi aksi bertemu pasukan di kedudukan kedua Liga Super, Sabah FC pada Jumaat ini.
"Jumpa di SSI Jumaat ini keluarga JDT ku. Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi satu dekad.
"Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi. Jumpa hari Jumaat ini. Hidup Johor, muafakat itu berkat ALLAH peliharakan Sultan," kata Tunku Ismail di Instagram miliknya pada Rabu.
JDT terus membuktikan kualiti mereka pada saingan Liga Super musim ini dengan lima kemenangan selain turut melakar jumlah jaringan besar dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor.
Aksi menentang Sabah merupakan perlawanan tumpuan dan dinantikan oleh seluruh peminat bola sepak negara kerana pasukan itu merupakan pesaing rapat untuk JDT ketika ini.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berada di kedudukan kedua dan berpeluang memintas JDT sekiranya berjaya meraih tiga mata.