KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon merasakan pasukannya mempamerkan peningkatan permainan meskipun prestasi belum mencapai tahap yang diharapkan selepas menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagaimanapun, gembira skuad Harimau Malaya meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri selepas hanya kalah kepada Bahrain 1-2 pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun tahun lepas.
"Matlamat masih berterusan tetapi saya (dapat) rasakan peningkatan itu... Saya rasa masih ada ruang untuk penambahbaikan dan ini adalah kenyataan, kami berada pada suatu tahap namun saya gembira kami mengekalkan rentak kemenangan. Seingat saya, kami beraksi di halaman sendiri sejak Mac dan hanya tewas kepada Bahrain.
"Ini kubu kami, jadi sesiapa yang datang kami beri tentangan. Kami akan sedaya upaya untuk menjadikan halaman kami sebagai kubu dan terus melakar kemenangan... ini yang penting, dari segi prestasi walaupun menang saya masih kurang berpuas hati,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata apa yang mengecewakan beliau ialah anak buahnya tidak dapat mengekalkan intensiti permainan, menggambarkan anak buahnya perlu mengekalkan penguasaan dan agresif sepanjang perlawanan.
Pada pertemuan dengan Hong Kong yang berada di ranking ke-146 dunia malam tadi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim masing-masing menghasilkan jaringan pada separuh masa pertama membantu Malaysia meraih kemenangan kedua pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini.
Kejayaan malam tadi menyaksikan anak buah Pan Gon mencatat kemenangan kedua berturut-turut menentang Hong Kong selepas turut merekodkan kemenangan 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Kuala Lumpur, Jun tahun lepas.
Skuad Harimau Malaya yang memutusan menjalani latihan pusat dan beraksi di Johor pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA turut menewaskan pasukan yang berada di ranking ke-135 dunia, Turkmenistan 1-0 di venue sama, Khamis lepas.
"Saya gembira kami menang dua kali berturut-turut, menang berturut-turut menentang Hong Kong, saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Terima kasih kepada TMJ ( Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas penyediaan segala kemudahan baik di sini. Kami mempunyai masa dan persediaan untuk dua perlawanan dan menikmatinya.
"Terima kasih kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) atas sokongan penuh, terima kasih kepada peminat yang datang untuk memberi sokongan kepada kami semasa Ramadan kerana menerusi sokongan yang diterima, kami mampu berjuang untuk Malaysia. Malam ini (malam tadi) amat sukar namun masih satu kemenangan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pan Gon berjanji akan membantu pemain untuk mencapai potensi terbaik mereka dalam memastikan pasukan terus mempamerkan peningkatan menjelang jendela perlawanan antarabangsa FIFA Jun depan.
"Sekarang pemain kembali ke kelab masing-masing, saya mahu lihat setiap mereka, saya mahu lihat mereka pada setiap perlawanan, anda boleh lihat sesetengah pemain tidak cukup kecergasan. Jadi saya mahu galakkan mereka bermain dengan kerap... ini harapan saya dan saya fikir kita boleh maju,” katanya. - Bernama