BEIJING - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Beijing Capital International Airport di sini hari ini untuk lawatan kerja lima hari ke China dan menghadiri Forum kedua Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF).
Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di lapangan terbang itu pada 8 malam.
Perdana menteri berusia 94-tahun itu disambut semasa tiba oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan China dan kuasa usaha Kedutaan Malaysia di China Nuryante Mohd Yazid.
Beliau memeriksa barisan kehormat terdidri daripada anggota angkatan tentera China.
Ini lawatan kedua Dr Mahathir ke China sejak mengetuai Pakatan Harapan (PH), gabungan parti-parti politik, memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.
Perdana Menteri melawat China pada Ogos tahun lepas. Semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri Malaysia dari 1983 hingga 2003, beliau melawat negara ini tujuh kali.
Selain menghadiri forum mengenai inisiatif OBOR bersama 36 pemimpin dunia dan beratus-ratus perwakilan, Dr Mahathir akan juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan China Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping, di mana isu-isu kepentingan bersama mendominasi agenda.
Dr Mahathir dan Keqiang akan menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani mengenai langkah meningkatkan perdagangan minyak sawit antara kedua-dua negara dan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion,
China adalah rakan dagang Malaysia terbesar sejak 10 tahun lepas dengan jumlah dagangan tahun lepas meningkat 8 peratus kepada RM313 bilion.
Terkenal sebagai seorang tokoh yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang teknologi terbaru, perdana menteri akan juga meluangkan masa melawat syarikat telekomunikasi terkemuka China, Huawei Technologies dan melihat dari dekat kelebihan teknologinya.
Beliau akan juga melawat Sensetime Ltd, peneraju global teknologi Artificial Intelligence (AI) dan mengadakan sesi dialog dengan kapten industri China serta sektor swasta dan cuba menarik mereka melabur di negara Asia Tenggara.
Perdana menteri akan berlepas pulang pada Ahad. - Bernama