[DIKEMAS KINI] PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengambil sikap 'berlapik' mengenai spekulasi pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali ke pangkuan badan induk itu.
Beliau sebaliknya mahu menunggu hasil pertemuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan pemain nombor empat dunia itu. Malah di sebalik prestasi tidak menentu Zii Jia, beliau mengesahkan pemain itu disenaraikan sebagai atlet dalam projek Road to Gold (RTG).
"Apa sahaja bantuan yang diperlukan daripada segi latihan dan kejurulatihan kita (RTG) akan beri sokongan sepenuhnya.
"Apa pun ia berpandu kepada kriteria dan syarat RTG,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau terdahulu menerima kunjungan Hannah yang meninjau fasiliti MOM di ibu negara.
Sehubungan itu, Mohamad Norza berkata, segala kepincangan melibatkan Zii Jia yang keluar dari BAM awal tahun lalu diketepikan dan mahu pemain itu fokus kepada Sukan Olimpik.
Beliau menegaskan, pihaknya enggan campur tangan masalah peribadi kerana negara ketika ini mempunyai misi lebih besar iaitu meraih pingat emas pertama Olimpik.
"Ketika ini, kita tak ada masa yang panjang, (Olimpik) Paris sudah semakin hampir. Saya mahu kurangkan isu dan spekulasi.
"Saya fikir kita hanya nak fokus kepada RTG kerana tak ada guna kalau semua pihak ada isu masing-masing. Isu ini tak boleh diselesaikan dalam sebulan atau setahun,” katanya.
Mohamad Norza yang juga pengerusi bersama RTG dengan Hannah menjelaskan bertemu dengan Zii Jia secara kebetulan di hotel ketika kejohanan Seluruh England di Birmingham baru-baru ini.
Malah sekali lagi terserempak dengan pemain itu ketika bersahur di sebuah restoran mamak di Sri Hartamas, Petaling Jaya.
Sebelum ini tercetus khabar angin pemain dari Alor Setar, Kedah itu akan kembali ke BAM selepas Mohamad Norza memuat naik gambar beliau bersama Zii Jia dalam Instagram.