Rizab minyak, gas Malaysia dijangka bertahan 15 tahun lagi

Iklan
Rizab petroleum semasa Malaysia bagi hasil minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 15 tahun.
KUALA LUMPUR - Rizab petroleum semasa Malaysia bagi hasil minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 15 tahun lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jangkaan itu mengikut pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022.

"Berdasarkan rekod Petroliam Nasional Bhd (Petronas) setakat 1 Januari 2022, anggaran rizab petroleum (2P) di Malaysia adalah sebanyak 6.9 bilion tong minyak setara.

Iklan
Iklan

"Menurut pengiraan 'Indeks Hayat Rizab', rizab petroleum semasa Malaysia bagi hasil minyak dan gas dijangka dapat bertahan selama 15 tahun.

"Ini boleh dipertingkatkan lagi kepada lebih 40 tahun melalui pelaburan modal tinggi, penggunaan teknologi baharu dan landskap pelaburan yang stabil dan kompetitif," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN - Paya Besar) yang memintanya menyatakan jangka masa hasil daripada sumber minyak dan tenaga asli dapat bertahan membantu pertumbuhan ekonomi negara serta peratusan potensi eksplorasi yang sedang dan akan diterokai.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, daripada jumlah keluasan kawasan minyak dan gas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sebanyak 70 peratus telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas yang layak untuk diterokai dan dibangunkan.

Iklan

Ujarnya, kajian dan perolehan data pula sedang giat dijalankan di kawasan yang belum diterokai untuk ditawarkan semasa Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) yang akan datang.

Selain itu katanya, Petronas juga telah siap membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di atas tapak seluas 2,551 hektar.

"Kompleks itu merangkumi loji penapisan minyak (300,000 tong sehari), loji pemprosesan petrokimia (3.6 juta tan setahun), co-generation plant (penjanaan tenaga elektrik 1,729MW dan tenaga wap 1,700 tan sejam), terminal regasifikasi (3.5 juta tan setahun) serta tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum," katanya.

Tambahnya, pelaburan Petronas bagi pembangunan PIC berjumlah RM109.6 bilion itu turut termasuk pembangunan PRefChem, iaitu loji penapisan minyak dan loji petrokimia secara usahasama dengan syarikat Saudi Aramco.

"Sasaran untuk melengkapkan semua akiviti dan mencapai fasa operasi kini berjalan seperti yang dirancang," katanya.