Elak makan ikan buntal, ada kandungan toksin

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kiri: Hampir semua jenis ikan buntal mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia menasihati orang ramai agar mengelak daripada memakan ikan buntal yang tidak diketahui jenisnya ekoran tragedi keracunan makanan yang dialami sepasang suami isteri di Kluang, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, hampir semua jenis ikan buntal mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.

Iklan
Iklan

Katanya, jika memilih untuk mencuba hidangan atau produk berasaskan ikan buntal, elakkan memakan bahagian seperti hati, kulit, usus dan ovarium.

"Bahagian-bahagian ini perlu dibuang dengan betul sebelum dimasak. Ini kerana tetrodotoxin tidak akan musnah walaupun dimasak pada suhu yang tinggi.

Iklan

"Selain itu, orang yang mengendalikan ikan buntal untuk dimakan mestilah berpengalaman dan berpengetahuan terhadap ikan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang selepas keracunan makanan akibat makan ikan buntal.

Iklan

Mangsa, 83, dan suaminya, 84, membeli ikan itu melalui platform media sosial dan menerima barangan itu pada 25 Mac lalu.

Tambah Adnan, pengguna yang membeli ikan secara dalam talian terutama dalam bentuk filet, perlu cakna dengan spesies dan jenis ikan dibeli.

"Peniaga pula perlu berwaspada dengan makanan yang dijual termasuk ikan kerana menjadi satu kesalahan jika menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan.

"Apabila disabitkan dengan kesalahan, individu itu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua duanya mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281)dan Peraturan Peraturan: Bahagian III Kesalahan dan Keterangan - Seksyen 13 (1)," jelasnya.

Beliau turut menyarankan mana-mana pihak yang mengalami gejala keracunan dalam tempoh 30 minit hingga dua jam setelah memakan ikan buntal perlu segera mendapatkan rawatan daripada pusat perubatan.

"Gejala tersebut seperti mual, muntah atau lemah otot. Ini boleh menyerang saraf dan membawa kepada kematian jika dimakan," ujarnya.