PUTRAJAYA - Kertas kabinet berhubung Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dibentangkan pada April depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini kementerian dalam proses penyediaan kertas kabinet tersebut.
"Sebagai menteri saya perlu mendapatkan gambaran tepat mengenai apa yang berlaku terhadap sistem yang menelan perbelanjaan RM1.2 bilion tersebut," katanya menerusi sesi dialog bersama media di sini pada Rabu.
Menurutnya, keputusan jemaah menteri kelak sama ada untuk meneruskan atau membatalkan projek tersebut dianggap sebagai yang terbaik.
"Saya mesti laporan apa ya g berlaku, tidak boleh berselindung," katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan bahawa projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.
Projek NIISe telah berjalan hampir dua tahun dan sepatutnya siap Ogos 2025.
Sementara itu pada perkembangan lain, Saifuddin menjelaskan kerajaan tidak pernah menarik balik notis merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
"Usaha menjejaki dan menangkap Jho Low berterusan dilakukan," katanya.